Daily Archives: May 19, 2011

Newspaper article on Majlis OKU 16 May 2011

Kerajaan komited pertingkat prasarana OKU

KUALA LUMPUR 16 Mei – Kerajaan komited mempertingkatkan semua prasarana bagi keperluan orang kurang upaya (OKU) selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ini termasuk menaik taraf kemudahan pengangkutan awam seperti stesen transit aliran ringan (LRT), stesen bas dan komuter agar lebih mesra OKU.

Menurut beliau, untuk itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memastikan perancangan tersebut berjalan lancar.

“Mesyuarat hari ini telah membentangkan beberapa laporan dan saya berpuas hati dengan kemajuan dan perancangan yang dilakukan oleh beberapa anggota tetap.

“Ini termasuk Kementerian Pengangkutan dalam menyediakan prasarana terutama pengangkutan awam untuk OKU bagi memastikan keselesaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Orang Kurang Upaya (OKU), di sini hari ini.

Majlis yang ditubuhkan di bawah Akta OKU itu dianggotai beberapa kementerian bertujuan menentukan dasar dan polisi untuk membantu golongan berkenaan.

Sehingga kini, bilangan OKU yang mendaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah berjumlah 325,189 orang berbanding 283,512 tahun lepas.

Shahrizat berkata, dalam memastikan masa depan golongan tersebut terjamin, pihaknya akan mewujudkan pasukan khas bagi meneliti secara terperinci isu yang menjadi halangan kepada kemajuan pendidikan khas dan intervensi awal yang akan diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur.

Beliau berkata, pihaknya akan mengesyorkan kepada Kementerian Pelajaran langkah-langkah positif yang boleh diambil untuk membantu meningkatkan keupayaan golongan OKU bermula dari bangku sekolah.

Malah, tegasnya, kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan lebih ramai OKU diserapkan dalam alam pekerjaan memandangkan ada dalam kalangan mereka yang mempunyai potensi dan kelayakan akademik.

“Bagaimanapun cabaran paling getir adalah untuk mengubah pemikiran majikan, keluarga dan OKU itu sendiri supaya lebih positif terhadap potensi mereka,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian Pengangkutan, Mustapha Zainuddin berkata, pihaknya akan mengeluarkan pelekat yang mempunyai nombor siri sebagai pengenalan kepada kenderaan OKU bermula pertengahan Jun depan selain garis panduan reka bentuk bas yang lebih mesra OKU.

Buat masa ini, pihaknya telah menaik taraf 100 bas selain 12 stesen komuter dan lima stesen LRT di sekitar Lembah Klang.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.